Tuesday, 23 August 2011


Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.
Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.
Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.
Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.

I

Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.
Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.
Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.
'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '
Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?
Subhanallah. Maha suci Allah!
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.
Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.
Kenapa semua ini terjadi padaku?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)
Kenapa terlalu berat ujian ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku. Mengapa?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)
Bagaimana harus ku hadapi semua ini?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah : 45)
Apa yang akan kudapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.." (At-Taubah : 111)
Kepada siapa harus aku berharap?
"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)
Berimankah aku?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)
Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah SWT. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya.

hidup ini roller coaster





Hidup itu memang bergelora,
Sebagai dugaan untuk manusia,
dalam mencapai keredhaan Tuhan,
Hidup itu ada naik dan ada turunnya,
Itu perlu untuk hidup yang indah.
Hidup itu memang bergelora,
Gelora ditangani bila hidup bermatlamat,
Perlunya Hidup kepada Matlamat,
Adalah ibarat perlunya kapal,
yang sedang berada di tengah laut bergelora,
dan pada malam yang gelap gulita,
kepada 'light house'.
Sungguh hanya ada dua pilihan,
Pilih hidup sekadar bertahan,
atau,
Pilih hidup untuk berjaya,
Namun untuk berjaya,
Hidup perlukan matlamat,
Pilihan Di Tangan Anda!

..nak jadi baik mmg lambat...


Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.

"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"
"Masih ada sinar" Ustaz N menjawab pendek.
Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman Syurga ilmu.Marvellous!
Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."

In

"SMS masuk, Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.
"Terima kasih, Ustaz. Macam mana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"
Ustaz N tersenyum. "Pernah tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"
Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!
Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."
Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.
"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."
Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.
"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita."
Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik:
Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.

Thursday, 18 August 2011

...Cinta Allah Sumber Kekuatan Luar Biasa...

Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada selain Allah, maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh. Badan itu akan hancur, tetapi roh tetap hidup.
Roh sepatutnya menjaga dan mengawasi semua anggota badan. Pastikan setiap inci pergerakannya selari dengan kehendak Allah. Anggota tidak akan bertindak selagi kita (roh) tidak mengarahkannya. Saya lebih sesuai menterjemahkan roh sebagai hati kerana hatilah memainkan peranan yang terpenting dalam melahir dan menzahirkan seni praktikal.
Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya Ulumuddin bahawa hati itulah raja yang segala anggota taat dan patuh kepadanya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nukman ibn Basyir r.a. sabda Rasulullah s.a.w., " Di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baiknya ia, maka baiklah jasad itu. Apabila jahat, nescaya jahatlah seluruh jasad itu. Ia adalah hati."
Demikian itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh membaikkan hati dan memelihara juga memuliharanya daripada segala bintik-bintik noda yang menghitamkan hati.
Keperluan badan manusia terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara ini cenderung menyalahi akal dan melampaui batasan. Oleh itu, kemahuan ini perlulah disekat dan dibatasi dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Manusia pasti terpesona dan terpikat melihat warna-warni pelangi yang menghiasi dunia, tergodanya mereka dengan 'syurga' dunia yang menghancur dan membinasakan diri mereka akhirnya. Melainkan insan-insan bertuah yang diselamatkan Allah. Mereka berhati-hati supaya tidak tergoda. Pintalah keselamatan daripada Allah. Rayulah agar Dia memelihara kita daripada segala kejahatan, mungkin datang dari lubuk hati, atau nafsu, Syaitan, juga Syaitan manusia.
Usaha tidak terhenti di situ, kita mestilah berusaha memelihara hati dan diri daripada perbuatan haram yang akan mengotorkan hati dan langsung akan menjarakkan hubungan kita dengan Tuhan. Tuhanlah matlamat kita. Ke manakah kita sehari-hari? Menuju ke mana? Kalau bukan kembali kepada Pencipta, Allah al-Khaliq.
Manusia yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya akan menemui kegagalan dan kemuflisan dalam merencah rencah-rencah delima hidup ini.
Cinta kepada Allah merupakan sumber dan benteng kekuatan yang akan menghalang kita daripada terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Untuk menguatkan agar cinta kita tidak tergugat, perlulah ia dibajai dengan sifat-sifat yang mulia, terutamanya sifat zuhud.
Bagi membolehkan kita sampai ke matlamat yang sebenar demi kebahagian di dunia dan akhirat, perlulah kita memandang dunia ini dengan pandangan yang betul. Kenapa perlu berzuhud dengan dunia?
Zuhud
Zuhud dalam ertikata melihat dunia ini tidak lebih dari kepentingan Akhirat. Mencari hasil dunia jangan sampai lagha kepada Tuhan. Saya lebih sesuai dengan makna begini.
Kekayaan tidak menghitamkan keimanan selagi kayanya kita ini semata-mata kerana Allah Ta'ala. Namun sekiranya harta itu membuatkan kira semakin leka akan hakikat diri, sesungguhnya kekayaan itu bakal menghancurkan pemiliknya seperti anai-anai menghancurkan kayu.
Firman Allah, "Kekayaan telah melalaikanmu," ayat pertama dalam surah al-Takasur ini jelas larangan kekayaan yang menyebabkan kita lagha dan lalai kepada Allah. Adapun kekayaan yang dipentaskan oleh keimanan kepada Allah pasti akan menghasilkan hasil yang lumayan untuk ummah. Insya-Allah!
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.h. menyimpulkan tipu daya dunia kepada penduduknya dengan pelbagai cara. Antaranya:
1. Ia berpura-pura kekal bersama kita. Hakikatnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan, " Selamat tinggal," kepada kita. Seperti bayang-bayang yang tampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.
2. Dunia ini berpusing-pusing seperti ahli sihir yang menawan tetapi jahat. Dia berpura-pura cinta kepada kita, kemudian dia kembali kepada musuh dan meninggalkan kita yang kesedihan dan berputus asa.
Inilah wajah dunia.
Seorang guru telah menasihati Ibrahim ibn Adham dengan mengemukakan beberapa nasihat iaitu:
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makannya janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat daripadanya.
3. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya.
4. Orang yang melupakan hal kematiannya janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
5. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
6. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredaan Allah kepadanya.
Demikianlah nasihat gurunya kepadanya.
Tafakur
Senjata seterusnya untuk membentengi Iman dan menyuburkan cinta kita kepada Allah Taala ialah tafakur.
Merenung memikirkan ciptaan Allah. Ambil sejenak waktu, renunglah bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan sirna lenyap sama sekali! Maka nampaklah betapa dunia ini berupa tipuan belaka. Tiada kalimah yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan betapa ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang tetap dan kekal. Membuat rancangan untuk sepuluh tahun mendatang, sedangkan mungkin dia akan berada di dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari sahaja lagi! Siapa tahu?
Siapa yang membiarkan dirinya ditenggelamkan lautan keindahan dunia fana ini, dihempas ombak nafsu yang menggila, suatu saat nanti tangannya akan menyumbatkan makanan ke dalam mulutnya dan kemudian memuntahkan semula! Kelazatannya hilang sirna. Bagai helang yang hilang sayapnya.
Harta semakin betimbun. Jiwa semakin rimas mencecah usia tua. Sayangnya untuk meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi. Semakin pedih dan sedihlah hendak meninggalkan semua itu. Kelak tidak berharga serimis pun!
Kepedihan meninggalkan dunia, di Akhirat juga akan terasa pedihnya. Kebahagiaan saat meninggalkan dunia, di Akhirat pun ada bahagia menanti. Insya-Allah.
Janganlah teragak-agak lagi untuk menjernihkan hati. Baikilah hubungan kita dengan Allah. Usah dicemari lagi, semoga Dia menjaga hati juga jiwa juga roh kita kesemuanya.
(Rujukan: Al-Hub ila Allah karangan Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi , Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib)

Thursday, 11 August 2011

salam perkenalan

SALAM....

jangan stress-stress...
blog ini akan membantu anda merilakskan fikiran anda...
meleraikan segala kekusutan fikiran anda...
blog ini akan memberikan sedikit sebanyak tips-tips untuk release tension anda...